27 April 2009

Pentas 152 Berjaya Lonjak Semangat Generasi Muda - Pak Samad

Petaling Jaya, 26 April: Generasi muda hari ini diseru untuk menghayati semangat cintakanbahasa kebangsaan dan meneruskan perjuangan yang telah diasaskan seawal tahun 1950 dahulu, demikian tegas Sasterawan Negara Datuk A Samad Said di dalam amanat beliau yang disampaikan melalui program Pentas 152: Amanat Buat Pejuang Muda malam tadi.
Pentas 152 yang dianjurkan oleh Kelab Anwar Ibrahim (AIC) turut mendapat sokongan moral daripada beberapa pertubuhan seperti Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

A Samad Said atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad berkata, musnahnya kegemilanganpembinaan negara bangsa apabila tidak wujudnya perasaan tanggungjawab di kalangan masyarakat khususnya di kalangan pemimpin.
Sambil mengalu-alukan inisiatif AIC menganjurkan Pentas 152, Pak Samad menyatakan bahawa rakyat yang prihatin tidak menolak kemajuan tetapi kemajuan sama sekali tidak boleh mengorbankan kelangsungan bahasa kebangsaan.


"Disebabkan oleh kerana tiada tanggungjawab itulah maka wujudnya kelompok pemimpin 'CaTakSerKin' (Cakap Tak Serupa Bikin) yang akhirnya mendatangkan bahana buat identiti bangsa," tegas Pak Samad di dalam amanat kemuncak beliau.

Program tersebut yang turut dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia melalui Laman Web AIC turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak dan lagu puisi berjaya menarik kira-kira 100 pengunjung.

Dalam ucapan aluan, Presiden AIC, Muhammad Shukri Saad berkata bahawa Pentas 152 adalah manifestasi generasi muda dalam menyatakan sokongan akan  peri pentingnya bahasa kebangsaan dipertahankan dalam apa keadaan sekalipun.

"Menyedari hakikat ini AIC memulakan langkah pada tahun 2009 melalui penganjuran Pentas 152 untuk menyatakan tekad generasi muda yang menyokong agar PPSMI dimansuhkan," ujar Shukri.
Shukri juga menambah AIC sedang giat menyusun beberapa lagi program bertujuan untuk menyebarluas kempen seumpamanya termasuk Wacana Ekonomi dan juga Mini Konsert AIC.

Program yang dimulakan pada jam 8.30 malam itu turut diisi dengan penampilan khas Setiausaha GMP, Hasni Abas; penyair terkenal Pyan Habib; serta budayawan seperti Fyn Jamal, Meor, Amin Iskandar dan Rahmat Haron. AICMedia

Laporan Penuh, Pentas 152

Perjuangan menegakkan kedaulatan bahasa melayu terus mendapat tempat dalam agenda rakyat yang menghargainya. Program ini menjadi medium menentang egois kerajaan BN dan  menunjukan begitu ramai golongan rakyat terutamanya yang masih muda sungguh bersemangat untuk mempertahankan bahasa ibunda mereka.

Atas dasar kesedaran itu, Kelab Anwar Ibrahim telah menganjurkan satu program iaitu Pentas 152, Amanat buat Pejuang Muda bertempat di Rumah Kelab AIC di Seksyen 16 Petaling Jaya pada 26/4/2009.

 Kelab Anwar Ibrahim merasa sungguh bertuah kerana Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said sudi untuk turut sama memberikan sokongan pada protes dan suara anak-anak muda sekaligus menyampaikan amanat beliau pada kemuncak program.

Kami juga begitu berbangga kerana mendapat sokongan padu daripada wakil-wakil GMP dan PKPIM.
Program bermula pada pukul 7.30 malam apabila orang ramai mula membanjiri perkarangan rumah kelab dan memenuhi segenap ruang di hadapan pentas. Kemudian para jemputan termasuk Vip, wakil media, artis dan juga mereka yang membuat persembahan mula mengambil tempat. Antara tokoh-tokoh budayawan yang hadir adalah penyajak terkenal, saudara Pyan Habib, saudara Rahmat Haron, Amin Iskandar@ Black, Meor, Fin Jamal, Alina dan ramai lagi.


Program yang diacarakan oleh Sheen telah membuka tirainya pada pukul 8.30 malam. Presiden Kelab Anwar Ibrahim, saudara Muhammad Shukri diberi penghormatan untuk menyampaikan kata kata aluan. Beliau turut menjelaskan visi dan misi AIC dalam memperkasakan anak muda di Malaysia serta objektif penganjuran. Tidak lupa juga pendirian AIC dalam menentang PPSMI.

Pentas diserahkan kepada wakil GMP untuk menyampaikan ucapan beliau dan kemudiannya disusuli oleh Pengarah Program iaitu saudara Zulfadzli. Beliau mengalu alukan kehadiran orang ramai yang sungguh di luar jangkaan serta penglibatan budayawan yang menyokong penganjuran julung kali program AIC tentang memartabatkan bahasa


Semangat hadirin terus dibakar apabila persembahan membuka tirainya.. Lagu-lagu didendangkan sambil diselang seli dengan sajak-sajak yang terus menggamit dan membangkitkan kesedaran serta semangat perjuangan budaya bahasa. Sokongan dan respon hadirin menambahkan lagi pengertian program yang berlangsung lebih satu jam setengah.

 Lebih membanggakan lagi perjalanan program semalam telah divideokan dan ditonton secara langsung menerusi web lebih 2000 orang penonton.

Akhirnya kemuncak program yang ditunggu telahpun tiba. Sasterawan Negara yang dikagumi, A. Samad Said melangkah naik ke Pentas 152 untuk menyampaikan amanat beliau kepada anak muda. Dalam amanat yang bersejarah itu, beliau begitu bersemangat mempertahankan keperkasaan bahasa melayu dan membidas golongan yang menghina bahasa.. Menurut beliau, bukan kita menolak kemajuan tetapi mengapa perlu sampai mengorbankan bahasa kita sendiri.

A. Samad Said turut menyampaikan amanat beliau kepada anak anak muda supaya tidak leka dan terus peka dalam mempertahankan bahasa.


Amanat Pak Samad menerima tepukan paling gemuruh pada malam itu. Hadirin juga kelihatan begitu puas serta terbakar semangat mereka dengan amanat dan cabaran daripada Pak Samad. Sebelum malam itu berakhir, Pak Samad bersama Presiden dan Timb Presiden bergandingan melaksanakan simbolik program dengan mengoyakkan sehelai kertas putih yang bertulis "PPSMI".

Majlis bersurai setelah sesi bergambar berlangsung lebih kurang 15 minit. Hadirin berpusu pusu mengiringi Pak Samad ke kenderaan bagi menghargai serta menghormati perjuangan seorang sasterawan yang berjuang sejak sekian lama.

Apapun, program semalam telah pun membuktikan kemahuan melaksanakan itu lebih penting daripada keupayaan. Syabas dan tahniah kepada jawatnkuasa penganjur yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Diharap intipati serta semangat program akan terus meresap ke sanubari anak-anak muda untuk lebih berani mempertahankan bahasa dan budaya mereka.
Jumpa lagi di program berikutnya.  "kesan ekonomi ke atas kau dan aku"

KELAB ANWAR IBRAHIM (AIC)

26 April 2009

Salam,

Mewakili Tuan Rumah,saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat menjayakan Pentas 152 - Amanat buat anak muda.

Harapan kami buat kalian yang hadir adalah untuk terus mempertahankan dan memartabatkan Bahasa Melayu bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk semua yang bangsa.

Amanat penuh Sasterawan Rakyat Datuk A Samad Said akan kami dokumentasikan dalam bentuk video dan akan disiarkan sedikit masa lagi.

Untuk rakan-rakan, lawati blog mereka yang telah menjayakan program ini malam tadi. Mana tau kalian berkenalan dengan mereka;

Fynn Jamal http://fynnjamal.blogspot.com
Dila Raden http://profanitikarut.blogspot.com/
Pyan Habib http://pyanhabib.blogspot.com/
Black http://aminiskandar.wordpress.com
Rahmat Haron http://sampahseni.blogspot.com/
Meor http://pyanhabib.blogspot.com/
Alina Abdullah http://alinaabdullah.wordpress.com
Shamsul Iskandar http://www.shamsuliskandar.com


Oh ya, saya juga bebesar hati sekiranya anda mempunyai sebarang maklumbalas mengenai program malam tadi, sila email terus kepada saya di alamat; syafiqsunny@gmail.com

Sekiranya juga anda ingin adakan acara bersama kami dan di Pentas 152 (di lokasi malam tadi), jangan malu-malu untuk hantarkan pesanan kepada saya.

Terima Kasih Banyak-Banyak

Syafiq Sunny
http://pentas152.blogspot.com

Siaran Langsung, Pentas 152

Pentas 152: Amanat Buat Pejuang Muda!


Pentas 152 akan bersiaran secara langsung dari Rumah Kelab AIC, Seksyen 16, Petaling Jaya Tepat pada pukul 9.00 Malam ini

Watch live video from anwaribrahimclub's channel on Justin.tv

21 April 2009

ATURCARA MAJLIS 'PENTAS 152: AMANAT BUAT PEJUANG MUDA'

8.00 malam: ketibaan orang awam.


8.20 malam: ketibaan jemputan khas

8.30 malam: tayangan video penerangan 'Mengapa PPSMI mesti dimansuhkan?'


8.50 malam: persembahan puisi dan lagu oleh Amin Iskandar, Rahmat Haron, Meor dan
                   wakil-wakil pertubuhan yang bersama mendesak untuk mansuhkan PPSMI.


10.15 malam: 'Amanat buat pejuang muda' oleh Sasterawan Negara, Pak Samad Said



10.45 malam: Persembahan momento



11.00 malam: Majlis bersurai

peta Rumah AIC

peta

16 April 2009

Pentas 152: Amanat Buat Pejuang Muda!


Pada 26 April 2009, bertempat di Rumah Kelab Seksyen 16 Petaling Jaya, AIC akan menganjurkan satu aktiviti bagi menghayati semangat Perjuangan Bahasa Melayu bertajuk “Amanat Buat Pejuang Muda” Persembahan deklamasi puisi, sajak dan lagu khas dari tetamu jemputan seperti Amin Iskandar (Black) dan Rahmat Haron serta wakil-wakil dari AIC.


Tarikh : 26 April 2009

Masa:8 malam

Tempat: Rumah Kelab AIC (Yayasan Aman PJ)

Websites:

http://www.anwaribrahimclub.com/pentas152/

http://pentas152.blogspot.com/


Seterusnya acara kemuncak merupakan amanat dari Datuk A. Samad Said Sasterawan Negara dan merupakan Pejuang yang banyak mengangkat martabat Bahasa Melayu, Pak Said akan menyampaikan amanat beliau buat anak-anak muda. Semua dijemput hadir bagi meriahkan acara!

15 April 2009

Isu PPSMI diseret ke Penanti pula


Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said terus berikrar membantah dasar Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), termasuk dalam pilihanraya kecil DUN Penanti tidak lama lagi.
“Untuk saya sendiri, saya akan teruskan (berkempen). Biarpun saya kalah dalam berlawan,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya sama beliau akan turut serta berkempen kali ini seperti pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu dan Bukit Selambau.
“Saya akan terus (berkempen) kerana saya merasakan, yang paling penting (menjelaskan persoalan) mengapa Kementerian Pelajaran melanggar Akta Bahasa (dengan melaksanakan PPSMI)?
“Atas alasan itu (saya berkempen).”
Bekas timbalan satu ketua menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin semalam menyerahkan surat rasmi meletak jawatan ADUN kawasan itu berkuatkuasa serta-merta.
Mengulas lanjut kempen membantah PPSMI menggunakan saluran pilihanraya kecil, A Samad menjelaskan, kempen menggunakan medan itu “lebih berkesan” berbanding kaedah lain, misalnya menghantar memorandum.
“(Memorandum) itu salah satu (saluran). Selalunya, memorandum itu akan diperap oleh hal yang lain. Sebab mereka (kerajaan) merasakan soal bahasa itu tidak terlalu penting,” katanya, yang bertindak sebagai penasihat Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
GMP bulan lalu menganjurkan demonstrasi besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong dan kini A Samad bersama barisan pemimpin gabungan itu, termasuk pengerusinya Datuk Dr Hassan Ahmad, dalam siasatan polis.
A Samad juga melihat peralihan pucuk kepimpinan dalam Kementerian Pelajaran kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membayangkan pemansuhan dasar itu.
“Saya fikir mereka sendiri merasakan bahawa apa yang diasaskan (Datuk Seri) Hishammudin (Hussein) itu tidak perlu diganggu. Itu yang saya rasakan, begitulah,” katanya yang terkenal dengan novel Salina.
“Apa yang disebut Muhyiddin, bahawasanya (beliau) menerima apa yang diwariskan dan akan membawa benda itu ke kabinet. Tetapi itu tidak berbeza daripada apa yang Hishammuddin cakap (sebelum ini).”
Timbalan perdana menteri - selepas majlis terima tugas dari bekas menteri pelajaran - dilaporkan berkata ingin mendapatkan maklum balas beberapa kementerian lain sebelum memutuskan dasar PPSMI.
Muhyiddin juga mengulangi kenyataan Hishammudin sebelum ini yang dilaporkan berkata kertas laporan telah siap dan sedia dikemukakan untuk pertimbangan mesyuarat kabinet dalam masa terdekat.
Ditanya sama ada beliau telah putus harapan terhadap kementerian itu, A Samad berkata:
“Bukan putus harapan tetapi tidak ada apa yang bergerak.”
GMP juga berkempen di Bukit Gantang baru-baru ini walaupun A Samad tidak ikut serta kerana menghadiri satu acara di luar negara.
Beliau pernah dilaporkan menyeru rakyat menyokong PAS dan PKR dalam pilihanraya kerana kedua-dua parti ini sahaja terletak harapan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

PPSMI: Muhyiddin diberi masa 14 hari

Menteri pelajaran baru diberikan tempoh dua minggu untuk membuat keputusan konkrit berhubung dasar kontroversi Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Mengulas pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin ke jawatan tersebut minggu lepas, Gabungan Mansukan PPSMI (GMP) mahu beliau melihat dahulu memorandum bantahan yang dihantar berhubung perkara tersebut.

Setiausaha GMP Hasni Abas berkata, keputusan memberikan tempoh itu dibuat dalam mesyuarat gabungan itu di Rumah PENA di ibunegara malam tadi.

"Jika dalam tempoh tersebut, kami tidak mendapat sebarang respons, GMP akan bermesyuarat untuk mengambil tindakan susulan,” katanya hari ini.

"Mungkin kita akan menghantar memorandum kepada menteri dan Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Muhyiddin - selepas majlis terima tugas dari bekas menteri pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein - yang ingin mendapatkan maklum balas beberapa kementerian lain sebelum memutuskan dasar PPSMI.

"Sesi taklimat ringkas telah diakan. Saya mendapat sedikit gambaran. Kertas laporan (kepada kabinet) telah disediakan.

"Saya tidak dapat membuat kenyataan lanjut sebelum mendapat taklimat terperinci masalah tersebut," kata Muhyiddin di Putrajaya.

Mengulas perkara tersebut, Hasni mencadangkan menteri berkenaan turut mendapatkan pandangan pakar-pakar bahasa mengenai PPSMI.

"Jangan cepat buat respons, adakah yang bantah itu tidak cukup pendidikan, atau pengetahuan bahasanya rendah?" katanya.