27 April 2009

Pentas 152 Berjaya Lonjak Semangat Generasi Muda - Pak Samad

Petaling Jaya, 26 April: Generasi muda hari ini diseru untuk menghayati semangat cintakanbahasa kebangsaan dan meneruskan perjuangan yang telah diasaskan seawal tahun 1950 dahulu, demikian tegas Sasterawan Negara Datuk A Samad Said di dalam amanat beliau yang disampaikan melalui program Pentas 152: Amanat Buat Pejuang Muda malam tadi.
Pentas 152 yang dianjurkan oleh Kelab Anwar Ibrahim (AIC) turut mendapat sokongan moral daripada beberapa pertubuhan seperti Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

A Samad Said atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Samad berkata, musnahnya kegemilanganpembinaan negara bangsa apabila tidak wujudnya perasaan tanggungjawab di kalangan masyarakat khususnya di kalangan pemimpin.
Sambil mengalu-alukan inisiatif AIC menganjurkan Pentas 152, Pak Samad menyatakan bahawa rakyat yang prihatin tidak menolak kemajuan tetapi kemajuan sama sekali tidak boleh mengorbankan kelangsungan bahasa kebangsaan.


"Disebabkan oleh kerana tiada tanggungjawab itulah maka wujudnya kelompok pemimpin 'CaTakSerKin' (Cakap Tak Serupa Bikin) yang akhirnya mendatangkan bahana buat identiti bangsa," tegas Pak Samad di dalam amanat kemuncak beliau.

Program tersebut yang turut dipancarkan secara langsung ke seluruh dunia melalui Laman Web AIC turut dimeriahkan dengan persembahan deklamasi sajak dan lagu puisi berjaya menarik kira-kira 100 pengunjung.

Dalam ucapan aluan, Presiden AIC, Muhammad Shukri Saad berkata bahawa Pentas 152 adalah manifestasi generasi muda dalam menyatakan sokongan akan  peri pentingnya bahasa kebangsaan dipertahankan dalam apa keadaan sekalipun.

"Menyedari hakikat ini AIC memulakan langkah pada tahun 2009 melalui penganjuran Pentas 152 untuk menyatakan tekad generasi muda yang menyokong agar PPSMI dimansuhkan," ujar Shukri.
Shukri juga menambah AIC sedang giat menyusun beberapa lagi program bertujuan untuk menyebarluas kempen seumpamanya termasuk Wacana Ekonomi dan juga Mini Konsert AIC.

Program yang dimulakan pada jam 8.30 malam itu turut diisi dengan penampilan khas Setiausaha GMP, Hasni Abas; penyair terkenal Pyan Habib; serta budayawan seperti Fyn Jamal, Meor, Amin Iskandar dan Rahmat Haron. AICMedia

No comments:

Post a Comment