27 April 2009

Laporan Penuh, Pentas 152

Perjuangan menegakkan kedaulatan bahasa melayu terus mendapat tempat dalam agenda rakyat yang menghargainya. Program ini menjadi medium menentang egois kerajaan BN dan  menunjukan begitu ramai golongan rakyat terutamanya yang masih muda sungguh bersemangat untuk mempertahankan bahasa ibunda mereka.

Atas dasar kesedaran itu, Kelab Anwar Ibrahim telah menganjurkan satu program iaitu Pentas 152, Amanat buat Pejuang Muda bertempat di Rumah Kelab AIC di Seksyen 16 Petaling Jaya pada 26/4/2009.

 Kelab Anwar Ibrahim merasa sungguh bertuah kerana Sasterawan Negara iaitu A. Samad Said sudi untuk turut sama memberikan sokongan pada protes dan suara anak-anak muda sekaligus menyampaikan amanat beliau pada kemuncak program.

Kami juga begitu berbangga kerana mendapat sokongan padu daripada wakil-wakil GMP dan PKPIM.
Program bermula pada pukul 7.30 malam apabila orang ramai mula membanjiri perkarangan rumah kelab dan memenuhi segenap ruang di hadapan pentas. Kemudian para jemputan termasuk Vip, wakil media, artis dan juga mereka yang membuat persembahan mula mengambil tempat. Antara tokoh-tokoh budayawan yang hadir adalah penyajak terkenal, saudara Pyan Habib, saudara Rahmat Haron, Amin Iskandar@ Black, Meor, Fin Jamal, Alina dan ramai lagi.


Program yang diacarakan oleh Sheen telah membuka tirainya pada pukul 8.30 malam. Presiden Kelab Anwar Ibrahim, saudara Muhammad Shukri diberi penghormatan untuk menyampaikan kata kata aluan. Beliau turut menjelaskan visi dan misi AIC dalam memperkasakan anak muda di Malaysia serta objektif penganjuran. Tidak lupa juga pendirian AIC dalam menentang PPSMI.

Pentas diserahkan kepada wakil GMP untuk menyampaikan ucapan beliau dan kemudiannya disusuli oleh Pengarah Program iaitu saudara Zulfadzli. Beliau mengalu alukan kehadiran orang ramai yang sungguh di luar jangkaan serta penglibatan budayawan yang menyokong penganjuran julung kali program AIC tentang memartabatkan bahasa


Semangat hadirin terus dibakar apabila persembahan membuka tirainya.. Lagu-lagu didendangkan sambil diselang seli dengan sajak-sajak yang terus menggamit dan membangkitkan kesedaran serta semangat perjuangan budaya bahasa. Sokongan dan respon hadirin menambahkan lagi pengertian program yang berlangsung lebih satu jam setengah.

 Lebih membanggakan lagi perjalanan program semalam telah divideokan dan ditonton secara langsung menerusi web lebih 2000 orang penonton.

Akhirnya kemuncak program yang ditunggu telahpun tiba. Sasterawan Negara yang dikagumi, A. Samad Said melangkah naik ke Pentas 152 untuk menyampaikan amanat beliau kepada anak muda. Dalam amanat yang bersejarah itu, beliau begitu bersemangat mempertahankan keperkasaan bahasa melayu dan membidas golongan yang menghina bahasa.. Menurut beliau, bukan kita menolak kemajuan tetapi mengapa perlu sampai mengorbankan bahasa kita sendiri.

A. Samad Said turut menyampaikan amanat beliau kepada anak anak muda supaya tidak leka dan terus peka dalam mempertahankan bahasa.


Amanat Pak Samad menerima tepukan paling gemuruh pada malam itu. Hadirin juga kelihatan begitu puas serta terbakar semangat mereka dengan amanat dan cabaran daripada Pak Samad. Sebelum malam itu berakhir, Pak Samad bersama Presiden dan Timb Presiden bergandingan melaksanakan simbolik program dengan mengoyakkan sehelai kertas putih yang bertulis "PPSMI".

Majlis bersurai setelah sesi bergambar berlangsung lebih kurang 15 minit. Hadirin berpusu pusu mengiringi Pak Samad ke kenderaan bagi menghargai serta menghormati perjuangan seorang sasterawan yang berjuang sejak sekian lama.

Apapun, program semalam telah pun membuktikan kemahuan melaksanakan itu lebih penting daripada keupayaan. Syabas dan tahniah kepada jawatnkuasa penganjur yang bertungkus lumus menjayakan program tersebut. Diharap intipati serta semangat program akan terus meresap ke sanubari anak-anak muda untuk lebih berani mempertahankan bahasa dan budaya mereka.
Jumpa lagi di program berikutnya.  "kesan ekonomi ke atas kau dan aku"

KELAB ANWAR IBRAHIM (AIC)

No comments:

Post a Comment